Tuesday, October 27, 2009

SIMPULAN BAHASA ‘P’

1.
Pacat kenyang
Pulang segera sesudah makan. Rafeah seperti pacat kenyang kerana setelah dia makan segera hendak pulang.
2.
Padang jarak padang tekukur
Musnah. Mengikut legenda, Pulau Langkawi telah disumpah menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.
3.
Pak sanggup
Orang yang menyanggupi sebarang kerja yang diberikan. Rahmat menjadi pak sanggup dengan mengahwini Aishah demi menjaga nama baik gadis itu.
4.
Pak turut
Orang yang mengikut sahaja. Sikap Hamdan yang pak turut menyebabkan dia terjebak dalam sindiket penyeludupan.
5.
Paku belanda
Harga tetap. Barang-barang di situ semuanya paku belanda dan tidak boleh ditawar lagi.
6.
Paling hati = Berpaling hati
Tidak setia. Akibat tidak menepati janji, para penyokongnya telah berpaling hati.
7.
Paling tadah
Tidak setia.
8.
Panas rezeki
Sukar mendapat rezeki. Zahari panas rezeki dan sudah tiga bulan dia menganggur.
9.
Panjang akal
Cerdik. Walaupun miskin tetapi dia panjang akal. Akhirnya dia berjaya menjadi seorang jutawan.
10.
Panjang ekor
Berani berbuat jahat. Dia memang panjang ekor kerana murid lain ke sekolah tetapi dia berjalan-jalan di pasar raya.
11.
Panjang fikiran
Cerdik.
12.
Panjang lidah
Suka mengadu atau menyampai-nyampaikan cakap. Jangan panjang lidah nanti terjadi pergaduhan di kalangan teman-teman sekerja.
13.
Panjang tangan
Orang yang suka mencuri.
14.
Pasang badan
Berhias diri untuk memikat. Beberapa bulan selepas kematian isterinya, Pak Mail mula pasang badan.
15.
Pasang kaki
Mengadakan pengintip. Pihak berkuasa terpaksa pasang kaki di pelabuhan-pelabuhan untuk membanteras kegiatan penyeludupan.
16.
Pasang mata
Memerhatikan baik-baik; waspada. Pengawal keselamatan itu terpaksa pasang mata kerana barang kemas yang dipamerkan mahal-mahal belaka.
17.
Pasang telinga
Mengintip atau mencuri dengar perbualan. Ah Mun pasang telinga semasa abangnya berbual di telefon.
18.
Pasar gelap
Tempat jual beli yang tidak sah. Peniaga pasar gelap itu telah ditangkap kerana menjual barangan curi.
19.
Patah arang = Berpatah arang
Perselisihan yang tidak dapat didamaikan lagi. Sulaiman telah berpatah arang dengan keluarga Salimah setelah pinangannya ditolak.
20.
Patah hati
Kecewa. Sudin tidak patah hati walaupun telah dua kali gagal dalam pertandingan itu.
21.
Patah kandar
Sesuatu yang bertambah sukar; hilang tempat bergantung. Hidup Salmi patah kandar sejak suaminya tidak bekerja.
22.
Patah lagu
Getaran suara apabila menyanyi. Dendangan lagu Siti Nurhaliza menarik perhatian saya. Patah lagunya sungguh mengasyikkan.
23.
Patah lidah
Tidak dapat berkata-kata dengan lancar. Semasa perdebatan itu saya seperti patah lidah apabila hendak mengemukakan pendapat.
24.
Patah perang
Kalah perang. Dalam pertempuran di sempadan Thailand, pihak komunis telah patah perang dengan tentera Malaysia.
25.
Patah semangat
Hilang kemahuan untuk berusaha. Setelah berumah tangga Mas Anizan patah semangat untuk bergiat dalam bidang seni.
26.
Patung bernyawa
Hidup yang tidak mempunyai cita-cita. Keadaannya bagai patung bernyawa selepas ditinggalkan Rosli.
27.
Pecah amanah
Melanggar amanah. Saidin dituduh pecah amanah apabila dia didapati menggunakan duit daripada tabung kebajikan untuk perbelanjaan peribadinya.
28.
Pecah khabar
Tersiar berita. Telah pecah khabar bahawa Puteri Nila Kesuma masih hidup.
29.
Pedih hati
Pilu. Pedih hati Azimah mendengar kata-kata tuan rumah yang menghinanya.
30.
Pekak badak
Pura-pura tidak mendengar. Sukar menasihati Si Kasim kerana dia pekak badak.
31.
Pekak batu
Pura-pura tidak mendengar.
32.
Peluk lutut = Berpeluk lutut
Tidak bekerja. Dia hanya berpeluk lutut dan berehat di rumah sementara isterinya sibuk bekerja.
33.
Peluk tangan = Berpeluk tangan
Tidak bekerja.
34.
Peluk tubuh
Tidak bekerja.
35.
Pembasuh mulut
Manisan yang dihidangkan selepas makan. Dia makan pengat pisang sebagai pembasuh mulut selepas makan tengah hari.
36.
Pendekar kata
Orang yang pandai berpidato. Para penonton terpesona mendengar ucapan pendekar kata itu.
37.
Pendekar lidah
Orang yang pandai berpidato.
38.
Pendekar pena
Orang yang pandai menulis rencana di surat khabar. Ruangan 'Lidah Pengarang' di akhbar-akhbar biasanya dikendalikan oleh pendekar pena.
39.
Pendekar sambal
Pendekar yang pengecut dan mudah ditumbangkan. Pendekar sambal itu lari lintang-pukang apabila dikejar anjing.
40.
Pening-pening lalat
Berasa pening sedikit. Ibu pening-pening lalat semasa memandu menaiki Bukit Fraser.
41.
Perang dingin
Bergaduh atau berperang secara takut-menakuti (menggertak); perang secara senyap-senyap. Masalah kewangan adalah punca utama terjadinya perang dingin antara pasangan suami isteri.
42.
Perang gerila
Perang secara bersembunyi. Selama tiga tahun rakyat di negara itu hidup dalam kesengsaraan akibat berlakunya perang gerila antara pihak tentera dengan para pemberontak.
43.
Perang mulut
Bertengkar. Daun pokok rambutan menjadi punca perang mulut antara Mak Siput dan Mak Siti.
44.
Perang pena
Pertengkaran melalui tulisan di akhbar. Perang pena antara parti-parti politik di negara kita sering berlaku di akhbar-akhbar.
45.
Perang saudara
Perang antara orang sebangsa. Perang saudara yang berlaku di Afghanistan menyebabkan kerugian besar kepada negara itu.
46.
Perang terbuka
Perang secara besar-besaran. Perang terbuka antara Iraq dan Iran menyebabkan banyak nyawa terkorban.
47.
Peras otak = Memeras otak
Belajar bersungguh-sungguh. Farid memeras otak untuk menghadapi peperiksaan UPSR.
48.
Peras tenaga orang = Memeras tenaga orang
Membuat orang bekerja untuk keuntungan dirinya. Dia memeras tenaga orang untuk mengerjakan ladangnya tetapi upah yang diberikan terlalu sedikit.
49.
Peras tenaga
Bekerja bermati-matian.
50.
Perigi buta
Perigi yang tidak berair. Perigi buta itu dijadikan tempat membuang sampah.
51.
Perut kapal
Bahagian kapal yang di tengah-tengah. Perut kapal itu sangat luas dan boleh mengisi banyak barang.
52.
Perut kosong
Lapar. Ibu melarang kami pergi ke sekolah dengan perut kosong.
53.
Perut laut
Bahagian laut yang dalam. Di perut laut terdapat pelbagai khazanah semula jadi.
54.
Pilih bulu = Memilih bulu
Memandang kedudukan, bangsa dan keturunan. Walaupun berjawatan tinggi, Roslan tidak memilih bulu untuk berkawan.
55.
Pilih kasih
Berat sebelah. Ketika membesarkan anak-anaknya ayah tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.
56.
Pindah tangan = Berpindah tangan
Bertukar milik. Tanah di hujung kampung itu telah berpindah tangan kepada Ah Chong.
57.
Pinggang kerengga
Ramping. Wanita yang berpinggang kerengga sesuai memakai baju kebaya pendek.
58.
Pintu rezeki
Jalan untuk mendapat rezeki. Pintu rezeki penduduk di sini terbuka apabila kilang kain itu memulakan operasinya.
59.
Pintu terbuka
Sedia menerima tetamu. Salamah, seorang wakil rakyat yang mengamalkan sikap pintu terbuka sebab itulah rumahnya sering didatangi tetamu.
60.
Pisau cukur
Perempuan yang suka mengikis kekayaan lelaki. Jangan dekati perempuan pisau cukur itu nanti habis semua wang kamu dikikisnya.
61.
Potong jalan
Mendahului sehingga menyebabkan orang yang sepatutnya mendapat sesuatu tidak berpeluang. Aku yang sepatutnya mendapat gerai berniaga di situ tetapi Si Bujal telah potong jalan.
62.
Putera mahkota
Anak raja yang bakal naik takhta. Putera sulung Raja Di Hilir telah ditabal menjadi putera mahkota negeri Pinang Sebatang setelah kemangkatan sultannya.
63.
Puteri lilin
Orang yang tidak tahan lasak atau panas. Engkau ni seperti puteri lilin, berpanas sekejap pun sudah merungut, kata ayah kepada kakak.
64.
Putih hati
Ikhlas dan jujur. Semenjak kecil Arief telah dididik dengan sikap putih hati.
65.
Putih mata
Terlepas peluang. Nadiera berputih mata untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kelewatannya menghantar borang permohonan.
66.
Putih tapak kaki
Lari sekuat-kuatnya. Putih tapak kakinya ketika melarikan diri apabia dikejar oleh anjing liar itu.
67.
Putih tulang = Berputih tulang
Mati. Daripada menanggung malu kerana negara dijajah orang, baiklah berputih tulang di medan perang.
68.
Putus akal
Buntu fikiran.
69.
Putus arang = Berputus arang
Persahabatan yang putus sama sekali. Peristiwa itu menjadikan mereka berputus arang.
70.
Putus kata
Mendapat kata sepakat. Kedua-dua keluarga telah putus kata untuk melangsungkan perkahwinan antara Sabarudin dengan Sabariah pada bulan Ogos tahun ini.
71.
Putus rezeki
Hilang mata pencarian. Pencemaran minyak di pantai ini menyebabkan nelayan di sini putus rezeki.
72.
Putus ubat
Upacara menamatkan ubat selepas sembuh. Keluarga Jehan mengadakan kenduri putus ubat setelah Jehan sembuh daripada sakitnya.

0 comments:

Post a Comment